Jalur Gemilang di Turki

No Image Caption
A
A
A

SEKALIPUN terpisah pada jarak ribuan kilometer, hubungan Malaysia dan Turki masih lagi mekar dan subur di semua peringkat.

Bahkan hubungan yang semakin erat terjalin itu boleh diterjemahkan dengan peningkatan jumlah pelancong daripada kedua-dua buah negara.

Faktor utama hubungan yang sihat di antara Turki dan Malaysia adalah kerana persamaan dari sudut agama Islam dan kekuatan ekonomi yang dibina.

Turki sememangnya sangat dikenali di Malaysia menerusi kehebatan Empayar Turki Uthmaniyah yang jatuh pada tahun 1924.

Nama Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah meranapkan kekuatan dan ego Empayar Byzantine serta membuka kota Istanbul yang dikenali sebagai Konstantinople sentiasa sahaja mekar di ingatan umat Islam di Malaysia.

Namun, secara realitinya, Malaysia masih kurang dikenali di bumi Turki kerana terdapat kekangan maklumat. Rata-rata warga Turki mula mengenali Malaysia sewaktu mereka menunaikan haji dan umrah.

Kebanyakan mereka sangat menggemari gaya dan adab yang sopan-santun jemaah haji Malaysia yang berdisiplin.

Menarik lagi dengan peningkatan kemasukan pelajar-pelajar dan pelabur dari Malaysia ke Turki khususnya di Istanbul meningkatkan lagi tanda-tanya warga Turki tentang Malaysia, sebuah negara Islam yang membangun tetapi begitu merendah diri untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Penulis pernah dijemput beberapa kali ke beberapa buah sekolah yang terletak di kota Izmir bagi menjalankan aktiviti memperkenalkan Malaysia kepada pelajarnya semenjak tahun 2016 lagi.

Jemputan-jemputan yang dibuat ini adalah atas dasar sifat ‘ingin tahu’ dengan lebih mendalam tentang Malaysia.

Penulis diminta hadir dengan berbaju Melayu lengkap bersongkok untuk dipertontonkan kepada pelajar di Sekolah Rendah Izmir Turk Koleji dan Sekolah Antarabangsa Isikkent Egitim Kampusu.

Program-program ini dihadiri sekitar 30 orang pelajar berumur antara 8 dan 10 tahun dari setiap kelas. Pada sesi pertama program, penulis telah menerangkan dengan ringkas tentang Malaysia dari sudut geografi, budaya dan agamanya. Kemudian pelajar diberi peluang berinteraksi dan bersoal jawab dengan penulis tentang Malaysia. Pada sesi terakhir pula ialah mewarna bendera Malaysia. Program ini berlangsung sekitar 1 jam.

Sebagai penghargaan, penulis menghadiahkan beberapa buah buku tentang Malaysia kepada semua pelajar sebagai penghargaan. Penulis sempat bertanya kepada guru-guru yang turut menyertai program itu tentang kepentingan program tersebut.

Kata mereka, pendedahan tentang perbezaan bangsa dan budaya ini sangat penting untuk dipupuk daripada kecil lagi. Mereka ingin anak-anak muda ini sedar bahawa mereka hidup bersama bangsa, negara, agama dan warna kulit yang berbeza.

Para pelajar pula sangat terhibur dengan pembentangan tentang Malaysia. Di antara soalan-soalan yang ditanya ialah hubungan keakraban bangsa-bangsa yang pelbagai di Malaysia dan jumlah populasi Malaysia.

Perkara yang begitu menarik perhatian mereka ialah cuaca Malaysia yang panas sepanjang tahun. Mereka merasakan bahawa musim panas adalah musim yang terbaik. Ada juga para pelajar yang tertarik dengan pemakaian baju Melayu bersamping. Kata mereka, ia adalah unik dan menarik. Bahasa Melayu pula dilihat sebagai bahasa yang sukar kerana cara sebutan dan susunan ayatnya.

Penulis percaya program-program seumpama ini sangat penting dalam memupuk sikap saling menyayangi dan mengekang semangat nasionalis yang melampau sehingga terheret dalam semangat perkauman.

Dari sudut hubungan di antara negara pula, anak-anak muda ini akan membesar dengan penuh maklumat tentang Malaysia dan boleh mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua buah negara pada masa hadapan.

* Thaqib Shaker merupakan graduan sarjana dalam hubungan antarabangsa di Universiti Yasar, Turki; Presiden Pusat Komuniti Malaysia di Turki; penulis buku kanak-kanak dan felo penyelidik di Euromates

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!