‘Parti pak lebai dah buktikan keupayaan tadbir tiga negeri’

Tuan Ibrahim - Foto Bernama
Tuan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan partinya sudah membuktikan keupayaan untuk mentadbir melalui prestasi ditunjukkan di ketiga-tiga negeri dikuasai iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, kejayaan diperoleh daripada segi ekonomi dan pentadbiran itu dicapai Pas di sebalik pelbagai label yang dilemparkan seperti parti 'pak lebai’.

“Kelantan, Terengganu dan Kedah negeri yang ditadbir Pas. Parti pak lebai katanya.

“Meski tidak sempurna, tapi pentadbiran ketiga-tiga negeri ini telah menunjukkan peningkatan ekonomi yang baik, pentadbiran yang berwibawa, kerajaan yang stabil dan paling penting tiada rasuah. Insya-ALLAH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Parti 'pak lebai’ merupakan antara label sering digunakan oleh lawan politik Pas bagi menggambarkan parti itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, Pas memilih untuk menjalinkan kerjasama rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama, Pas dilihat terus terbuka untuk meneruskan usaha bekerjasama dengan parti yang disifatkan oleh rakan gabungannya dalam PN sebagai musuh utama iaitu UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pendirian itu telah menyebabkan terdapat pimpinan kedua-dua parti iaitu Pas dan UMNO saling berbalas kenyataan antara mereka.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!