Kerajaan usaha kembalikan matlamat asal SBP, MRSM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan anak-anak B40 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula tahun ini, merupakan usaha penting kerajaan dalam mengembalikan semula matlamat asal kedua-dua sekolah elit itu.

SBP dan MRSM dengan matlamat asalnya adalah membantu penduduk di luar bandar, dan keluarga yang kurang berkemampuan semakin lama semakin “tersasar”, apabila ia menjadi pilihan golongan yang agak berada dan berkemampuan.

Menyedari kedua-dua jenis sekolah itu tidak lagi menerima pelajar yang ‘sepatutnya’, PH yang mula menerajui kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei tahun lalu, memilih untuk kembali kepada matlamat asal kedua-dua sekolah itu, walaupun keputusan itu bukanlah sesuatu tindakan yang popular.

Kerana itu, pemilihan pelajar ke kedua-dua sekolah itu sungguh berbeza tahun ini, apabila hampir 70 peratus pelajar daripada keluarga B40 ditawarkan ke MRSM yang berada di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), bagi sesi persekolahan 2019, manakala bagi SBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, kira-kira 52 peratus pelajar untuk tahun ini adalah daripada kalangan B40.

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata langkah itu satu keputusan yang bagus bagi mengembalikan tujuan asal penubuhan SBP dan MRSM, iaitu membantu golongan ini mengubah nasib keluarga dan mempunyai masa hadapan yang lebih cerah menerusi pendidikan.

“Sudah tentu, anak-anak ini akan mendapat lebih perhatian dari segi pendidikan di SBP dan MRSM berbanding jika di sekolah biasa. Ini adalah matlamat utama penubuhannya, bukan ia ditubuhkan untuk orang yang berada,” katanya kepada Bernama.

Golongan B40 atau ‘bottom 40’ merujuk kepada pendapatan isi rumah 40 peratus terendah, iaitu tidak melebihi RM3,860 sebulan.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) Azealea Dzulkefflee berkata antara impak kemasukan anak-anak dari kalangan B40 ini ialah mereka mampu mengubah nasib keluarga mereka hasil pendidikan berkualiti tinggi yang diterima di MRSM.

Artikel Berkaitan:

Bagi menyokong usaha kerajaan itu, katanya Ansara menerusi Biro Modal Insan giat menjalankan program khidmat masyarakat bagi mengenal pasti pelajar-pelajar dari golongan itu yang layak memasuki MRSM dari seluruh negara.

“Kita bekerja keras, termasuk pergi ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjejak pelajar ini, sebab ada di kalangan ibu bapa dan keluarga yang kekurangan sumber maklumat, hingga anak mereka terlepas peluang mengisi borang kemasukan ke MRSM,” katanya kepada Bernama.

Katanya peluang kemasukan ke peringkat pendidikan seterusnya iaitu institusi pengajian tinggi juga tinggi

Selain itu, Azealea berkata peluang ditawarkan kerajaan kepada anak-anak golongan B40 itu, apabila mereka berada dalam alumni MRSM, mereka akan bergabung bersama alumni lain untuk pelbagai tujuan pembangunan negara, selain mendapat asuhan daripada Ansara, mendorong mereka menjadi modal insan yang berkualiti.

Bagaimanapun, isu kos tinggi di SBP dan MRSM yang mungkin agak membebankan golongan berkenaan dibangkitkan oleh Azimah dan Azealea, yang memerlukan tindakan daripada kerajaan membantu dalam soal kewangan.

“Ada yang terpaksa menolak permohonan kerana timbul masalah meskipun kos dan yuran tahunan hanya RM1,500 setahun,” kata Azimah.

Justeru, Azimah berkata kerajaan perlu menentukan mekanisme terbaik dalam membantu keluarga tersebut agar anak mereka tidak terlepas peluang mendapatkan pendidikan terbaik sama ada di SBP atau MRSM.

“Mungkin boleh menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Baitulmal, jabatan agama atau yayasan negeri masing-masing dalam menanggung sebahagian daripada perbelanjaan tersebut,” katanya.

Azealea berkata ada di kalangan anak-anak B40 yang terpaksa menolak tawaran atau memohon menukar ke MRSM yang lebih dekat dengan rumah kerana kekangan kewangan, dan bagi Ansara, pelajar yang mengalami masalah kewangan dibantu menerusi bantuan khususnya dalam membayar yuran pengajian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!