UiTM juara sulung Bola Sepak 7's Wanita IPT 2022
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) muncul juara sulung Karnival Bola Sepak Tujuh Sebelah (7's) Wanita Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A, 3-2 dalam perlawanan akhir di Padang Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, pada Ahad.
Kejayaan dilakar skuad kendalian Mohammad Ezuan Othman lebih manis apabila Nur Syafiqah Zainal Abidin yang meledak dua gol dalam perlawanan itu muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol.
UiTM yang diundi dalam Kumpulan B menyingkap tirai kempen dengan kemenangan bergaya 9-0 ke atas Kolej Poly-Tech MARA Beranang
(KPMB), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) A (2-1), UMP (7-0), SSMP B (3-0).
Namun langkah cemerlang anak buah Mohammad Ezuan dihentikan Universiti Pendidikan Sultan Idris 2-3 sekali gus mengakhiri cabaran berstatus naib juara kumpulan.
Pada aksi suku akhir, UiTM dipaksa berhempas pulas sebelum dapat menjinakkan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Melaka, 2-1, kemudiannya kembali garang membenam cabaran UPNM B, 3-1 di pentas separuh akhir.
Kejayaan menjuarai kejohanan edisi 2022 yang disertai 11 pasukan, menyaksikan UiTM membawa pulang RM4,000 dan piala, SSMP A pula meraih RM3,000 dan hadiah iringan.
Sementara itu, pasukan tempat ketiga, UPNM menerima RM2,000 manakala UPSI keempat terbaik membawa pulang RM1,000.
Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!