Perselisihan faham Abang Viva, keluarga selesai

Gambar dikongsi Azwan (berdiri, kiri) bersama isteri, kedua ibu bapanya dan ahli keluarga yang lain.
Gambar dikongsi Azwan (berdiri, kiri) bersama isteri, kedua ibu bapanya dan ahli keluarga yang lain.
A
A
A

SHAH ALAM - ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 30, mengesahkan segala perselisihan faham dengan keluarganya kini telah selesai.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, aktivis yang aktif dalam misi banjir itu turut menjelaskan hubungan dengan keluarganya telah pulih dan kembali seperti sebelum ini.

Hantaran terbaharu itu juga turut disertakan bersama dua keping Azwan bersama isteri, kedua ibu bapanya dan ahli keluarga yang lain.

"Alhamdullillah segala perselisihan faham telah diselesaikan dan kami menjadi seperti dahulu kembali.

"Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan saya wakil dari seluruh keluarga memohon maaf atas segala yang telah terjadi.

"Saya berharap tiada lagi kecaman atau isu yang akan dikeluarkan. Biarlah apa yang berlaku dan apa yang kami bincangkan menjadi rahsia antara keluarga kami, terima kasih dan maaf sekali lagi kepada semua," katanya.

Jelas Azwan, dia berharap tiada lagi persoalan atau pertanyaan tentang isu berkenaan kepada ibu bapanya.

"Jika ada kebencian, pertanyaan atau apa-apa boleh terus kepada saya sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah saya seorang yang menanggung segala beban dan bukan keluarga saya," jelasnya.

Azwan menambah, majlis perkahwinannya akan diadakan pada hujung tahun ini.

"Insya-ALLAH, majlis perkahwinan kami akan dibuat pada bulan Disember tahun ini," ujarnya.

Azwan dilapor selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Evanoza Zakaria di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Ayer Keroh, Melaka pada 14 Oktober lalu.

Berita gembira itu telah dikongsikan Azwan bersama orang ramai menerusi penstriman secara langsung pada malam Khamis namun disimpan sebagai tetapan peribadi.

Azwan berkata, tiada niat untuk menyembunyikan perkara baik itu namun memandangkan dia dan isteri mempunyai niat yang sama untuk melakukan kebajikan dia mengambil keputusan memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan fitnah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!