[VIDEO] UMNO terus guna isu perkauman untuk menang
SEREMBAN - UMNO sehingga hari ini masih menggunakan isu perkauman sebagai jalan mudah untuk menang dalam pilihan raya.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu terpaksa menggunakan cara berkenaan kerana gagal menjawab dan menyelesaikan isu-isu yang membelenggu rakyat.
"Dia (UMNO) tiada idea dan malas nak berdepan dengan rakyat dan akhirnya ambil jalan mudah kata jika rakyat mengundi selain UMNO dan Pas, maka negara ini akan diambil alih oleh orang bukan Islam.
"Apabila diambil alih, mereka akan jual semua harta negara terutama milik Islam. Saya ini bukan Melayu ke? Kalau saya rasa tak betul, saya akan sebut," katanya ketika memberi ceramah di Jelajah Ayuh Malaysia Parlimen Rembau di sini pada Ahad.
Menurutnya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan pilihan raya paling sukar untuk dijangka kerana rakyat sudah bijak menilai.
Oleh sebab itu katanya, rakyat perlu diberi penerangan sebaik mungkin tentang tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan dan pemimpin yang diharapkan boleh mengubah keadaan.
"Sekarang ini tiada lagi zaman letak songkok (calon), orang kata boleh menang dan untuk PKR bertanding di Rembau, ia bukan satu tugas yang mudah.
"Tapi saya tahu pengundi selepas 2018 tahu yang kuasa itu ada pada mereka," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat sebagai Menteri Besar paling popular dalam kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, meskipun pada awal kemunculannya sebagai pemimpin nombor satu Negeri Sembilan diperkecilkan dan dibanding-bandingkan, namun beliau kini berjaya melakukan tugasnya dengan baik.
"Orang cakap dia hanya boleh jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) saja bukannya Menteri Besar dan orang juga kata dia tiada aura untuk melawan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan).
"Tapi selepas empat tahun dan nak masuk lima tahun, Aminuddin sebagai Menteri Besar, dia antara Menteri Besar yang paling popular dengan rakyat di seluruh Malaysia.
"Inilah keadaannya bila kita melantik orang tidak rasuah dan bongkak. Walaupun pada awalnya kita tidak yakin, insya-ALLAH dia boleh buat kerja dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!