Pemuda derita sakit misteri
MACHANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda di Kampung Pangkal Canggung di sini terpaksa menanggung derita penyakit misteri selepas dipercayai makan udang yang dikail dua bulan lalu.
Tuan Mohamad Hanif Tuan Yazid, 20, berkata, seluruh kulitnya melepuh dan mengeluarkan air bisa selain mengalami kegatalan yang teruk.
Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, sehingga kini dia sudah menemui lebih 10 pengamal perubatan tradisional dan lebih lima kali dimasukkan ke hospital.
Menurutnya sebelum kejadian, dia pergi ke kawasan semak di Kampung Belukar, Kuantan untuk mencari cacing sebagai umpan udang dan ada membuang air kecil di situ.
Tuan Mohamad Hanif memberitahu, dia ke kawasan itu seorang diri sementara tiga lagi rakan menunggunya kira-kira satu kilometer dari lokasi itu.
"Kami kemudiannya pergi ke Sungai Belat, Kampung Belukar, Kuantan kira-kira jam 11 pagi dan mendapat banyak udang besar.
"Pada sebelah petangnya, saya menikmati udang itu bersama mi segera. Dua jam selepas itu kulit saya mula dinaiki ruam dan gatal- gatal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnnya pada Isnin.
Bekas pelajar jurusan Otomotif di Giatmara Kuantan itu berkata, pada masa sama tangannya mula kebas manakala badan mula melepuh dan rasa tidak selesa.
Tidak tahan dengan keadaan itu, Tuan Mohamad Hanif memaklumkan kepada ibunya, Yusniza Mohd Zaidi, 41, dan terus dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan kira-kira jam 8 malam.
Tambah Tuan Mohamad Hanif, doktor memberitahu dia mengalami alahan makanan dan membekalkan ubat tahan sakit.
Bagaimanapun katanya, keadaan menjadi bertambah teruk apabila seluruh badan dipenuhi kudis yang mengeluarkan air bisa berdarah dan gatal-gatal.
"Saya berharap untuk sembuh seperti biasa dan dapat meneruskan pekerjaan sebagai tukang baiki motosikal," katanya.
Sementara itu, Yusniza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang kosmetik mengakui sangat simpati dengan nasib menimpa anaknya.
Kata Yusniza, kira-kira RM2,000 sebulan diperlukan untuk kos rawatan sejak Tuan Mohamad Hanif menderita sakit misteri itu dan dia terpaksa mengambil cuti mengejut jika melihat anaknya menangis kerana tidak tahan sakit.
"Pendapatan bulanan saya sebanyak RM1,400 tidak mampu menanggung kos perubatan yang diperlukan.
"Saya tidak sampai hati melihat dia dipenuhi kudis berdarah dan merayu bantuan kepada pengamal perubatan yang sudi membantu," katanya yang mahu melihat anaknya kembali sihat seperti biasa dan bekerja untuk meneruskan kehidupan.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Tuan Mohamad Hanif boleh menyumbang melalui akaun Maybank di nombor akaun 156226348477 atau menghubunginya di nombor 0189149267.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!