Maut bergesel besi pengadang jalan
PORT DICKSON - Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Sua Betong - Sunggala di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, mangsa, Abdul Hadif Abdul Hamid,18, disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu.
"Mangsa menunggang motosikal sendirian dari Seremban menghala Telok Kemang sebelum dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan besi pengadang jalan.
"Mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave itu mengalami kecederaan parah di leher dan beberapa anggota badan lain," katanya.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tepi sebelah kiri jalan menghala Telok Kemang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Aidi berkata, satu mayat lelaki warga negara Nepal, ditemui tergantung di kawasan perindustrian Taman Bukit Perdana Chua di sini, semalam.
"Hasil siasatan menunjukkan tiada berlakunya unsur jenayah. Mayat mangsa di bawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!