Ibu berpantang, bayi antara mangsa banjir di Durian Tunggal

Rohima dan Suaminya.
Rohima dan Suaminya.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang wanita yang masih dalam pantang dan bayinya berusia empat minggu antara mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Norimah Ibrahim,33, yang juga suri rumah berkata, dia dan keluarganya berpindah ke PPS sejak malam Ahad selepas kediaman mereka di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal dinaiki air.

Menurutnya, disebabkan suami, Khalid Mahadi,36, sahaja yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Masjid Tanah, dia sukar untuk berpindah ke rumah sewa lain meskipun rumah sewa mereka kerap dinaiki air.

"Tahun ini sahaja dah dua kali kami berpindah ke PPS dan kalau boleh nak pindah rumah lain yang lebih selamat, tapi kebanyakan rumah sewa agak mahal.

"Harap kerajaan negeri percepatkan permohonan kami untuk berpindah ke rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Taman Murai Jaya," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Rohimah yang juga mengundi di Parlimen Alor Gajah berkata, dia akan keluar mengundi 19 November depan namun bergantung kepada keadaan cuaca.

"Kalau ramalan cuaca cerah dan tidak hujan saya tiada masalah untuk keluar mengundi.

"Tapi kalau hujan berpanjangan banyak yang perlu fikir, risau rumah, anak-anak lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Norzila Jamaluddin,37, dia telah beberapa kali dipindahkan ke PPS sejak menyewa di Kampung Belimbing Dalam lebih lima tahun lalu.

Norzila Jamaluddin.
Norzila Jamaluddin.

Menurutnya, banjir paling teruk berlaku pada tahun lalu sehingga paras kepala dan terpaksa menanggung banyak kerugian

"Bukan tidak mahu berpindah tapi saya hanya bekerja sendiri dan dua anak 13 dan 16 tahun pula masih bersekolah dan memerlukan wang banyak.

"Selagi boleh sabar kami sabar dan berharap saliran longang berdekatan rumah kami didalami lagi bagi menampung air setiap kali hujan lebat," katanya.

Jelasnya, tidak pasti lagi akan pulang ke Negeri Sembilan untuk mengundi memandangkan sejak akhir-akhir ini kerap kali hujan.

"Tengok pada keadaan, lagi pun kalau kawasan kami sering berlaku banjir air termenung dan ambil masa air untuk surut," ujarnya.

Sementara itu, Sarinah Puteh, 39, juga berharap sistem saliran di kawasan kampung berkenaan diberikan perhatian.

"Rumah kami di kawasan rendah jadi kalau longkang diperbesarkan lagi dapat kurangkan masalah banjir," katanya.

PPS yang dibuka sejak Ahad itu turut menempatkan mangsa banjir dari Kampung Pulau dan Bukit Balai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!