Warisan berhasrat bertanding di Parlimen Port Dickson
PORT DICKSON - Parlimen Port Dickson antara empat kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi parti Warisan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Warisan Negeri Sembilan, Rahamat Isahak berkata, buat masa ini ia masih belum dimuktamadkan dan pucuk pimpinan parti sedang membuat penilaian.
"Setakat ini ia masih belum dimuktamadkan lagi. Tapi Warisan Bahagian Port Dickson telah menyatakan hasrat kepada pucuk pimpinan untuk meletakkan calon di Port Dickson.
"Kita tahu akan berdepan pertembungan sengit untuk mendapatkan Port Dickson lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan bertanding di situ. Tapi kita akan menampilkan calon muda yang boleh memberi cabaran kepada parti lawan terutama Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Port Dickson berkata, buat masa ini pihaknya menumpukan gerak kerja memperkenalkan nama parti kepada pengundi.
Ini kerana katanya, ramai beranggapan Warisan hanya berada di Sabah sedangkan ia didaftarkan di Alor Setar, Kedah dan kini sudah bertapak di Semenanjung.
"Di Port Dickson selain Parlimen, kami juga menyasarkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut, Sri Tanjung, Chuah dan Bagan Pinang.
"Kami yakin Warisan akan diterima di sini kerana parti ini terbuka kepada semua kaum dan sambutan diterima setakat ini adalah menggalakkan," katanya.
Pada Jun lalu Sinar Harian melaporkan, Warisan Negeri Sembilan menyasarkan sekurang-kurangnya bertanding empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN pada PRU15.
Pengerusinya, Datuk Azman Idriz berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!