Hodak tagih magis untuk bangkit

Hodak. - Foto Bernama
Hodak. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Kuala Lumpur (KL) City memerlukan sedikit masa untuk bangkit menjelang saingan Piala Malaysia minggu ini ekoran kekecewaan tewas pada final Piala AFC kepada kelab Oman, Al Seeb Sabtu lalu.

Jurulatihnya, Bojan Hodak mengakui skuadnya memerlukan magis dan suntikan semangat untuk berdepan PDRM FC dalam saingan pertama Piala Malaysia Khamis ini.

"Bagi perlawanan selepas ini bertemu PDRM saya perlu mencari 'magis' untuk menaikkan semula motivasi para pemain," katanya.

Hodak memberitahu, kekecewaan masih menyelubungi anak buahnya selepas tewas 0-3 kepada Al Seeb dalam aksi final Sabtu lalu yang boleh mengganggu emosi setiap pemain.

Katanya, bukan mudah untuk memulihkan semangat pemain yang ternyata kecewa di atas kekalahan tersebut.

Malah, status sebagai juara bertahan Piala Malaysia juga memberi tekanan, namun Hodak akan berusaha yang terbaik sambil mengharapkan keajaiban untuk meraih keputusan positif bertemu PDRM.

"Saya berharap ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik kerana ia bakal menentukan bagaimana kami bangkit selepas kekalahan," kata Hodak.

KL City merupakan juara bertahan selepas memenangi Piala Malaysia pada musim lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil edisi 2021 itu, skuad The City Boys mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0, sekali gus menamatkan badi 32 tahun untuk menjulang trofi dalam final edisi ke-100 tahun itu.

Dalam pada itu, Hodak turut mengharapkan penyokong KL City datang beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada para pemainnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!