Tekad berjuang sehingga berjaya: Aaron

Aaron (kiri) dan Wooi Yik belum berputus asa untuk memburu gelaran Terbuka Perancis. -Foto: FB BAM
Aaron (kiri) dan Wooi Yik belum berputus asa untuk memburu gelaran Terbuka Perancis. -Foto: FB BAM
A
A
A

BEREGU utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyifatkan kegagalan meraih gelaran pada Terbuka Denmark sebagai proses pembelajaran yang berguna untuk mereka bangkit pada kejohanan akan datang.

Aaron berkata, ia bukan petanda prestasi merosot sebaliknya membuka peluang kepadanya dan pasangan untuk membaiki segala kelemahan untuk pamer aksi lebih matang.

"Kekecewaan memang ada namun kita perlu percaya kepada proses. Ada masa kita gagal, ada masa kita belajar. Kami akan berjuang sehingga berjaya," katanya

Tambah Aaron, tampil sebagai juara dunia sudah pasti memberi cabaran lebih besar apabila lawan mempamerkan aksi luar biasa untuk mengalahkan mereka.

"Fokus seterusnya adalah untuk meraih keputusan positif di Terbuka Perancis dengan harapan mampu mencipta kejayaan di kejohanan itu," katanya.

Langkah pasangan yang menghuni ranking keempat dunia itu terhenti apabila tewas kepada gandingan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 17-21, 21-13,17-21 di separuh akhir Terbuka Denmark.

Kekalahan itu menyaksikan gandingan utama negara itu terlepas peluang untuk meraih gelaran di kejohanan berstatus Super 750.

Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui perlu lebih banyak 'berguru' apabila berada dalam kelompok empat beregu terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

"Kami boleh mengawal tekanan dengan baik ketika beraksi di gelanggang cuma saya fikir perlu lebih banyak belajar apabila menjadi antara pasangan terbaik dunia," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!