[VIDEO] SPR perlu lakukan penambahbaikan, elak berlaku beli undi
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta melakukan penambahbaikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan sebagai 'ibu kepada semua pilihan raya' termasuk pemantauan lebih ketat ketika mengundi.
Timbalan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia bagi mengelak berulangnya kegiatan membeli undi yang sering dibangkitkan dalam PRU mahu pun Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Menurutnya, keadaan itu disifatkan kritikal dan harus dibendung lebih awal dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat atau peraturan baharu.
"Saya sangat berharap agar SPR mempunyai SOP ketat, antaranya bagaimana kita akan menguruskan pilihan raya kalaulah berlaku hujan lebat atau banjir.
"Selain itu apa yang SPR lakukan untuk penambahbaikan yang diguna pakai berbanding PRU sebelum ini, kita tahu ada banyak laporan mengenai kes beli undi dan sebagainya yang pernah saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad bangkitkan sebelum ini," katanya di sini pada Isnin.
Mukhriz berkata, antara yang dicadangkan termasuk tidak membenarkan pengundi membawa telefon bimbit masuk ke pusat pengundian.
"Ia tidak sukar dilaksanakan, SPR boleh menyediakan sebuah kotak yang dipantau anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ketika pengundi meletakkan peranti masing-masing sebelum masuk ke pusat pengundian.
"Selepas kertas undi dimasukkan ke dalam kotak undi, barulah dibenarkan ambil semula telefon bimbit.
"Sebelum ini, ada dakwaan pengundi tertentu akan terima RM200 sebaik tiba di lokasi pengundian dan apabila tunjuk gambar sebagai bukti yang mereka undi parti tertentu, dapat RM100 lagi," katanya.
Menurutnya, hanya dengan 'umpan' sekecil itu, akhirnya menyebabkan rakyat merana selama lima tahun sebelum diadakan semula PRU.
"Cukuplah, SPR perlu betul-betul tegas (memainkan peranan) untuk tangani hal seperti ini.
"Masalah lain seperti pelantikan Pengerusi SPR yang dilantik oleh Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sepatutnya lebih wajar diletakkan bawah Parlimen," ujarnya.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menegaskan, gerakan untuk memerangi rasuah ketika PRU15 juga harus diberikan perhatian.
"Sangat penting untuk kita sedarkan rakyat kepentingan PRU15, ada yang sebut ia mother of all election maksudnya kita tak boleh nak bayangkan masih lagi dibelenggu dengan masalah kleptokrasi.
"Rakyat harus sedar kepentingan mengundi, keadaan cuaca tidak dapat dipastikan namun jika hujan atau banjir, peratusan pengundi tentunya menjadi rendah dan beri kelebihan kepada BN," katanya.
Sehubungan itu, Mukhriz berharap keputusan PRU15 kelak akan menstabilkan kerajaan selain ditadbir oleh sebuah kerajaan yang diberikan mandat dengan selesa.
"Kerajaan yang menang PRU14 lalu cuma ada kestabilan selama 22 bulan, selepas Mac 2020 sampailah hari ini negara kita tak stabil.
"Kerajaan tidak boleh buat kerja, orang politik pun jadi haru-biru. Tak boleh nak betul-betul gunakan mandat rakyat berikan itu untuk kebaikan semua. Satu penggal itu seolah buang masa, berkelahi antara parti sehingga negara kita diisytihar darurat," katanya lagi.
Penyandang Parlimen Jerlun itu juga berharap Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan dapat membantu menstabilkan kerajaan dan mengelak berlakunya lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
"Saya sarankan kerajaan negeri juga usulkan supaya RUU tersebut dibahas dan diluluskan di peringkat negeri.
"Cah keting ini bukan sahaja berlaku antara parti, bukan antara kita dengan lawan kita saja tetapi kita dengan kawan-kawan kita pun ada syak wasangka, semua ini buang masa saja," ujarnya.
Mukhriz berkata, PRU15 adalah peluang terakhir untuk rakyat perbetulkan keadaan dalam negara.
"Saya harap rakyat sedar perkara ini dan tak ambil remeh proses pilihan raya. Pilihlah calon terbaik bagi membela nasib rakyat yang kini berdepan pelbagai masalah.
"Kita nak kerajaan yang betul-betul akan menangani masalah, bukannya menimbulkan masalah lain pula kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!