'Arwah sempat ucapkan selamat hari lahir buat ibunya'
Menurut bapa mangsa , Zulkarnain Mohd Ali, 46, anaknya, Mohd Aidil Haiziryn, 15, juga sempat mengucup ibunya, Norhaliza Hussin yang meraikan hari ulang tahun ke-43.
Zulkarnain tidak menyangka dan terharu mengenangkan sambutan hari lahir tersebut yang dianggap detik manis dan terakhir sebelum anak sulungnya itu pergi buat selama-lamanya.
"Arwah sempat ucapkan selamat hari lahir buat ibunya. Arwah merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang gemar melakukan aktiviti mendaki dan kerap ke kawasan itu bersama rakan-rakannya.
"Malah arwah yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai itu turut meminta saya menghantar ke tasik tersebut namun terpaksa menolak kerana ada urusan lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.
Pada pagi Isnin, Mohd Aidil Haiziryn ditemukan lemas manakala seorang lagi rakannya terselamat ketika mandi di Tasik Tiga Beradik.
Kedua-dua remaja terbabit bersama empat lagi rakan sekolah mereka termasuk dua perempuan dipercayai melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk mandi di tasik terbabit.
Operasi mencari mangsa yang dilakukan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan BBP Pasir Gudang menemukan mangsa kira-kira sedalam tiga meter dan sejauh tujuh meter dari tebing.
Zulkarnain berkata, anaknya tidak pandai berenang selain menyifatkannya sebagai seorang yang peramah, pemalu dan menghormati orang tua.
"Sebelum dia pergi, tidak ada nampak perubahan pada dirinya. Dia juga mendengar kata, kalau saya tak benarkan, dia akan patuh," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, proses bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan keputusan masih belum diperoleh.
Difahamkan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai di sini pada Selasa setelah selesai bedah siasat di HSI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!