Skuad hoki remaja perlu 50 aksi kompetitif antarabangsa
SKUAD remaja lelaki negara perlu bermain sekurang-kurangnya 50 perlawanan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja November tahun depan.
Pengendalinya, Muhamad Amin Rahim berkata, ini Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) adalah siri pertama perlawanan antarabangsa mereka selepas dua tahun terhenti berikutan pandemik Covid-19.
Malah, katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Isnin, kejohanan itu adalah aksi antarabangsa pertama bagi kebanyakan pemain.
Muhamad Amin berkata, para pemain perlu memberi perhatian terhadap mengukuhkan dan menyelaraskan keupayaan mental supaya dapat mengekalkan semangat tinggi selama 60 minit dalam perlawanan antarabangsa secara konsisten.
“Kekuatan dan penyesuaian mental akan memainkan peranan penting kerana kejohanan antarabangsa melibatkan tahap permainan yang sangat tinggi dan tempoh yang lama, jadi jika pemain tidak dapat mengawal emosi mereka tidak akan mampu menyerap tekanan yang dihadapi di atas padang.
“Kekuatan mental juga memberi kesan kepada keupayaan pemain untuk membuat keputusan penting dengan baik ketika berada dalam tekanan,” katanya.
Malaysia tewas 2-5 kepada India pada perlawanan pembukaan (22 Oktober) sebelum kecundang 0-8 kepada Australia semalam di kejohanan SOJC di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Pasukan negara masih berbaki tiga perlawanan iaitu menentang Afrika Selatan esok, diikuti Great Britain (26 Oktober) dan Jepun (28 Oktober).
Muhammad Amin berkata, pasukan jurulatihnya akan menggunakan kejohanan SOJC yang membuka tirai Selasa lepas, untuk mengenal pasti kesilapan serta kelemahan bagi mempersiapkan skuad negara ke JWC sekali gus menepati sasaran MHC untuk sampai ke separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!