Suami isteri maut nahas skuter, kereta
LENGGONG - Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar sebuah kereta di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, peniaga, Azranawi Radzi, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Rosnah Ahmad, 44, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki skuter jenis KYMCO dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 47 tahun dipercayai telah keluar secara mengejut dari simpang kanan.
"Mangsa bagaimanapun tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat lalu melanggar bahagian sisi belakang kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, penumpang kereta, remaja lelaki berusia 14 tahun mengalami patah tulang betis kiri dan bahu kanan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk dibedah siasat dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
"Pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!