Lelaki maut bergaduh kes curi baja
PARIT BUNTAR - Pergaduhan dua lelaki berkaitan kes curi baja berakhir dengan kematian seorang daripada mereka dalam kejadian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa berusia 47 tahun dikatakan rebah di tepi jalan selepas habis bergaduh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis telah menahan suspek berusia 40 tahun di rumahnya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Suspek mengakui terlibat dalam pergaduhan selepas mangsa menahannya di tengah jalan serta menumbuk hingga terkena sedikit di bahagian pipi.
"Suspek membalas dengan menumbuk mangsa pada hidung dan pergelutan berlaku sehingga kedua-dua mereka terjatuh dalam tali air berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa menuduh suspek mencuri baja miliknya.
"Penduduk berhampiran berjaya meleraikan pergaduhan tersebut setelah mereka naik ke darat.
"Suspek beredar pulang ke rumahnya manakala mangsa dilihat rebah tidak sedarkan diri berdekatan motosikal miliknya," ujarnya.
Mohd Yusri berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sendiri itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek yang memiliki enam rekod jenayah lampau dalam kes jenayah dan dadah akan direman esok di Mahkamah Majistret Parit Buntar.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," jelas beliau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!