PRU15: Rakyat perlu bijak pilih pemimpin bebas rasuah

Rakyat sebagai pengundi perlu menolak kepimpinan yang terpalit dengan amalan rasuah dan gejala itu kini semakin parah. (Gambar kecil: Hussain)
Rakyat sebagai pengundi perlu menolak kepimpinan yang terpalit dengan amalan rasuah dan gejala itu kini semakin parah. (Gambar kecil: Hussain)
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah peluang keemasan buat rakyat dalam menentukan corak kepimpinan Malaysia ke arah yang lebih baik dan cemerlang.

Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA) Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, oleh itu kesempatan yang ada pada PRU15 perlu digunakan dengan sebaiknya dengan memilih pemimpin yang bersih dan bebas rasuah.

“Perkara utama yang perlu dinilai oleh rakyat adalah memilih pemimpin yang amanah, memiliki latar belakang rekod yang bersih dan menolak kemungkaran supaya kepimpinan yang dipilih tidak menyeleweng daripada bidang kuasanya.

“Amanah adalah perkara yang sangat berat untuk dinilai meskipun pemimpin tersebut dilihat sebagai seorang yang hebat dan berpengaruh. Kesilapan rakyat Malaysia dalam menentukan corak kepimpinan pada PRU15 akan membawa kepada kerugian kepada diri sendiri dan yang paling ditakuti adalah kesan kepada kemusnahan negara,” katanya kepada Rasuah Busters.

Beliau berkata, penekanan perlu diberikan kepada para pengundi supaya mereka benar-benar membuat pilihan yang tepat pada PRU15 bagi memastikan kesejahteraan negara kekal pada kedudukan yang terbaik.

Menurut beliau, rakyat sebagai pengundi perlu menolak kepimpinan yang terpalit dengan amalan rasuah dan gejala itu kini semakin parah.

“Isu rasuah sentiasa dibincangkan sehingga ke hari ini dan oleh kerana itu para pengundi perlu berhati-hati dalam membuang undi dan tidak termakan dengan mana-mana pemimpin yang bermasalah kerana jenayah rasuah ini merupakan isu besar yang membawa bencana kepada negara,” katanya.

Jelas Hussain, gejala rasuah yang tidak terkawal dapat menjejaskan sistem pemerintahan, pertahanan, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“PRU15 adalah gagasan rakyat yang perlu diberi perhatian serius dengan menilai calon yang bertanding agar kesilapan kepimpinan terdahulu tidak berulang dan memberi kesan kepada struktur pemerintahan negara sekarang,” tegas beliau.

Beliau menambah, rakyat perlu peka dengan tingkah laku sesetengah pemimpin yang lebih menjaga kepentingan diri dan kelompok mereka sehingga urusan rakyat diabaikan dan tidak mampu diselesaikan dengan baik.

“Rakyat Malaysia perlu lebih peka dan menilai calon dengan sebaiknya tanpa melihat kepada parti politik semata-mata,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!