'Ada tangan ghaib atur calon Amanah di Perak'

Ahmad Badrin
Ahmad Badrin
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Gopeng meluahkan rasa kesal apabila mendapati adanya 'tangan ghaib' yang cuba mengatur individu tertentu menjadi calon khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat.

Ketua Amanah Kawasan Gopeng, Ahmad Badrin Abdul Khalid berkata, pihaknya telah memutuskan untuk meletakkan muka baharu sebagai calon bagi DUN Sungai Rapat.

Menurutnya, nama calon yang berkelayakan juga sudah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh pimpinan iaitu Naib Pengerusi Amanah Perak, Dr Fakhruldin Mohd Hashim.

"Kita secara tegas menolak sebarang campur tangan mana-mana pihak untuk menentukan calon bertanding di DUN Sungai Rapat.

"Amatlah tidak wajar jika terdapat pimpinan utama parti mengugut untuk keluar parti dan mengadakan sidang media untuk membuka rahsia parti jika calon pilihannya tidak terpilih serta menolak calon yang dikemukakan oleh kawasan dan negeri tanpa sebarang justifikasi.

"Pimpinan tertinggi parti perlu memikirkan semasak-masaknya pandangan di peringkat akar umbi bagi melancarkan gerakan jentera untuk membantu calon memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Ditanya mengenai hubungan dengan penyandang kerusi DUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahmad Badrin mengakui tidak selesa bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Perak itu.

Menurutnya, Amanah Kawasan Gopeng kurang senang dengan prestasi ditunjukkan Mohammad Nizar sepanjang memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahmad Badrin, lebih mengecewakan apabila Mohammad Nizar bertindak memfailkan saman fitnah ke atasnya di Mahkamah Tinggi Ipoh pada awal tahun ini setelah namanya tidak dicalonkan oleh Amanah Gopeng.

"Dia menuduh saya memfitnah beliau mahu melompat sedangkan saya tak pernah berkata begitu pun ketika di dalam mesyuarat Amanah Gopeng.

"Jadi, bagaimana saya dan jentera di kawasan Gopeng mahu bekerjasama dengan dia jika dicalonkan?" katanya lagi.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang dihubungi mengesahkan bahawa tindakan saman tersebut memang difailkan ke atas Ahmad Badrin.

Jelasnya, perkara tersebut tidak akan menjejaskan gerak kerja bagi PRU15 untuk memenangi kerusi DUN Sungai Rapat yang akan kekal ditandingi.

"Ya, kalau ikut senarai di Mahkamah Tinggi itu memang ada (kes saman fitnah yang difailkan). Di antara saya dengan Ahmad Badrin.

"Saya tak rasa jentera akan terganggu kerana yang saya saman Ketua Amanah Kawasan Gopeng, bukan Amanah Gopeng," katanya.

Sinar Harian pada 20 Oktober lalu mendedahkan Mohammad Nizar antara tiga ADUN yang akan digugurkan oleh Amanah pada PRU15 nanti.

Mohammad Nizar dijangka diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang yang pernah dimenanginya sebelum ini ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan pada tahun 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!