Sasar peningkatan kutipan zakat

Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 bantu umat Islam tunai tanggungjawab

Orang ramai boleh menunaikan zakat di kaunter bergerak Zakat Pulau Pinang.
Orang ramai boleh menunaikan zakat di kaunter bergerak Zakat Pulau Pinang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lebih 20 program telah disusun sempena Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 yang akan bermula pada 3 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali berkata, program diadakan bertujuan meningkatkan dakwah terhadap masyarakat sekali gus menyemarakkan lagi budaya berzakat dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Menurutnya, penganjuran bulan zakat 2022 adalah satu bentuk manifestasi kepada himpunan aktiviti-aktiviti utama yang akan memberi impak tinggi kepada jumlah kutipan zakat pada tahun ini.

"Dalam penganjuran kempen bulan zakat kali ini, mungkin ada sedikit kelainan kerana kita jayakan bersama misi dan visi dalam agenda Khaira Ummah 2030 yang mana ZPP telah diberi tanggungjawab memimpin teras ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi ummah.

"Oleh itu, kita akan beri penekanan untuk membawa masyarakat Islam khususnya bersama kerajaan negeri dalam merealisasikan gagasan Khaira Ummah 2030 ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

AMRAN
AMRAN

Amran berkata, majlis pelancaran Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 akan diadakan pada 3 November depan di Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Teluk Air Tawar.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti kempen

Menurutnya, antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang kempen itu termasuklah temu ramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif ZPP di saluran media arus perdana, pelancaran klinik panel asnaf, majlis serahan dermasiswa dan bantuan permulaan ke IPT 2022 serta program Memorandum Persefahaman (Mou) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Turut diadakan tayangan video ikon asnaf melalui slot Majalah 3 yang akan disiarkan pada 14 November, hi-tea bersama majikan,

Pelancaran farmasi panel & serahan geran hospital, forum zakat dan kembara dakwah.

"Kita juga akan mengadakan pelancaran program ‘WOW’ untuk kempen jenis-jenis zakat, program bersama Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik, taklimat Perkeso dan Pemasaran, Majlis Pelancaran Program Pemeriksaan dan Pembaikan Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf.

"Selain itu, kempen bulan zakat kali ini turut diadakan ziarah kasih asnaf, Mou klinik bergerak bersama hospital KPJ, My Dhuha Time, Certificate of Collaboration bersama Politeknik Seberang Prai, majlis perasmian ladang fertigasi asnaf, hi-tea pembayaran zakat korporat dan pelancaran direktori zakat perniagaan," katanya.

Orang ramai juga boleh tunai zakat di kios yang disediakan oleh ZPP.
Orang ramai juga boleh tunai zakat di kios yang disediakan oleh ZPP.

Mengulas mengenai aktiviti yang diadakan, Amran berkata, setiap program mempunyai misi yang perlu disampaikan kepada masyarakat antaranya berkaitan penyediaan perkhidmatan berkualiti bagi memudahkan urusan pembayaran zakat dan pengagihan zakat secara telus dan efektif.

Jelasnya, ZPP juga ingin menyatakan komitmen dalam memastikan amanah muzzaki dijaga dan hak asnaf sentiasa dibela melalui pendekatan maqasid syariah.

Selain itu tambahnya, ZPP juga ingin membuktikan iltizam untuk memperkasakan asnaf melalui skim bantuan dan agihan zakat yang bukan sahaja memberi kemudahan dalam kehidupan malah akan mengubah mereka untuk menjadi pembayar zakat pada masa akan datang.

"Alhamdulillah, tahun ini merupakan penganjuran kali ke empat kempen bulan zakat malah hasil daripada penganjuran sebelum ini kita dapat lihat peningkatan jumlah kutipan dan jumlah pembayar zakat.

"Sebagai contoh pada tahun 2021 jumlah kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM14.147 juta iaitu meningkat sebanyak 12.5 peratus berbanding kutipan zakat pada tahun 2020.

"Ia meliputi semua segmen kutipan melalui zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat KWSP, zakat saham, zakat emas dan perak, zakat tanaman dan Qada’ Zakat. Cuma zakat ternakan dan zakat galian sahaja yang mengalami penurunan," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, beliau berkata, dengan penganjuran Kempen Bulan Zakat Pulau Pinang 2022 ini diharapkan akan dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai untuk berzakat dan menjana lebih banyak kutipan.

Beliau turut berharap melalui penganjuran program sebegini akan mewujudkan keseimbangan jurang sosioekonomi dalam kalangan umat Islam selari dengan agenda Khaira Ummah 2030 agar kecemerlangan ummah di Pulau Pinang seiring dengan kesejahteraan dan kemakmuran di negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!