Insurans tak 'cover', pesakit larikan diri tak bayar bil

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Gara-gara insurans yang diambil tidak melindungi rawatan di sebuah hospital swasta, seorang pesakit wanita bertindak melarikan diri tanpa membuat bayaran pada Ahad.

Disebabkan itu, satu laporan polis dibuat seorang jururawat bagi menjejaki wanita berusia 32 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, wanita itu disedari meninggalkan katil di wad berkenaan pada jam kira-kira 10.40 malam.

Menurutnya, pada mulanya pesakit itu telah mendaftar masuk lebih kurang jam 6.40 petang kerana mengadu sakit sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

"Pada sebelah malam, pihak hospital memaklumkan bahawa insurans miliknya tidak dapat digunakan untuk rawatan tersebut.

"Dia bagaimanapun telah memberitahu kepada doktor enggan meneruskan rawatan di hospital berkenaan dan pihak hospital memaklumkan proses keluar wad sedang dilakukan, namun pesakit perlu buat bayaran dan ambil ubat sebelum pulang.

"Pada jam 10.40 malam, wanita itu dikesan telah meninggalkan wad tanpa membuat pembayaran.

"Pihak hospital cuba menghubungi pesakit, namun tidak berjawab," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zaidy, siasatan lanjut dilakukan di mana pesakit pada mulanya telah memaklumkan memiliki insurans dan ingin mendapatkan rawatan berhubung sakit perut yang dialami.

Bagaimanapun, semakan mendapati penyakit tersebut tidak dilindungi syarikat insurans berkenaan.

"Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kes ini dan pemeriksaan di rumah juga telah dibuat namun masih belum menemui wanita terbabit di alamat yang diberikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!