GTA lindungi, majukan kaum Melayu: Tun M
SHAH ALAM - Gerakan Tanah Air (GTA) berhasrat mengembalikan perjuangan asal UMNO dalam melindungi dan memajukan kaum Melayu di negara ini.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA terdiri daripada Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah, maka mereka faham apa dihadapi kaum itu.
Ujar beliau, sebelum ini orang Melayu dilindungi oleh kerajaan yang didominasi UMNO namun perjuangan tersebut berubah kepada memperkaya diri pemimpin parti.
“Sebab itu GTA ditubuh untuk melindungi dan memajukan orang Melayu. Gerakan akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.
Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu melakukan.
“Tumpuan kita bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara,” katanya di Facebook pada Selasa.
Jelas beliau, GTA akan mengatasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka.
Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, Dr Mahathir berkata, GTA menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana kerajaan tidak meluluskan pendaftaran gabungan itu.
“Tetapi Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO.
“Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka mendapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!