Kastam Perak tumpas cubaan seludup kokain guna kurier

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TELUK INTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis kokain bernilai RM41,000 disorok dalam bungkusan kurier dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Taman Antek Avenue di sini, pada 20 Oktober lepas.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, hasil risikan dengan kerjasama pihak berkuasa antarabangsa, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 37 tahun ditahan pada jam 2.40 petang serta merampas satu bungkusan kurier disyaki mengandungi dadah kokain seberat 207.24 gram.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyorokkan dadah tersebut ke dalam bungkusan kurier mengandungi peralatan elektrik yang diseludup menggunakan khidmat kurier beralamat dari Vancouver, Kanada.

"Sebuah Toyota Vios turut dirampas dalam serbuan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000," katanya pada sidang media di JKDM Teluk Intan di sini pada Selasa.

Abdul Ghafar berkata, kedua-dua suspek itu direman selama 14 hari bermula 21 Oktober sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar meminta orang ramai membantu kastam dan kerajaan bagi memerangi jenayah penyeludupan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kemakmuran rakyat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!