PRU15: Kon Yeow masih berteka-teki kerusi ditandingi
BAYAN LEPAS - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberi bayangan bahawa mungkin tidak akan bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sebaliknya akan menumpukan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Tanjung bagaimanapun masih berteka-teki dengan kenyataannya itu apabila sering mengelak soalan wartawan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, soal pengumuman calon diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang dijangka mengumumkan senarai calon bagi Pulau Pinang hujung minggu ini.
"Jangan tanya soalan yang saya tidak dapat jawab. Hasrat saya sudah disampaikan kepada (DAP) pusat. Tidak ada khabar angin.
"Saya pernah kata, PRU14 adalah pilihan raya yang kedua akhir, kalau bukan terakhir. Masih sama juga. Soal calon, Setiausaha Agung DAP akan berada di zon utara pada hujung minggu ini untuk umumkan senarai calon bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang pada Selasa.
Sebelum ini, Kon Yeow dilaporkan berkata, kepada akhbar berbahasa Cina bahawa beliau berkemungkinan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15 ini.
Kon Yeow menyandang kerusi Parlimen Tanjong bermula pada 1999 sehingga 2013 memberi laluan kepada Ng Wei Aik untuk menyandang kerusi tersebut pada PRU13.
Bagaimanapun, Kon Yeow kembali mengambil semula kerusi Parlimen Tanjong pada PRU14 dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejak 2008.
Dalam pada itu, mengenai manifesto bagi Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, terdapat isu-isu melibatkan negeri ini yang turut dimasukkan ke dalam manifesto berkenaan.
"Walaupun pilihan raya ini melibatkan Parlimen namun pengundi perlu tahu kenapa mereka mesti mengundi Pakatan Harapan (PH), jadi kita kena bercakap soal negeri juga (di dalam manifesto)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!