'Usaha tambah baik perundangan syariah perlu diteruskan'
KUALA TERENGGANU - Mana-mana parti politik yang bakal membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diharap dapat meneruskan usaha bagi menambah baik perundangan syariah di negara ini.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, jawatankuasa bertindak bagi pelaksanaan penambahbaikan dan pemerkasaan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah perlu dikekalkan dan diteruskan.
"Dalam pelaksanaan undang-undang syariah ini, kita harap perkara-perkara yang telah dilakukan misalnya kewujudan jawatankuasa-jawatankuasa untuk penambahbaikan undang-undang dan penguatkuasaan syariah ini tidak diubah atau dihentikan.
"Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, apabila berlaku perubahan kerajaan, kadang-kadang polisi dan tindakan juga berubah.
"Jadi kita harap kerajaan baharu nanti tidak hentikan perkara-perkara baik untuk perundangan syariah ini kerana pernah berlaku, apabila berlaku perubahan kerajaan, keadaan sudah tidak sama atau slow (perlahan) sedikit atau sesetengah jawatankuasa itu dimansuhkan begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001: Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen pada Isnin.
Menurut Shamrahayu, pemansuhan jawatankuasa penambahbaikan mahkamah syariah pernah berlaku sehingga terdapat perubahan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (berkaitan agama) dengan menubuhkan jawatankuasa baharu bagi memperkasa undang-undang itu.
Pada masa sama, beliau turut mengesyorkan supaya usaha penambahbaikan berkaitan perundangan dan keseragaman antara mahkamah syariah di negeri-negeri dapat dilaksanakan.
"Jawatankuasa-jawatankuasa lain terutama di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkaitan penubuhan undang-undang Islam dan kefatwaan institusi fatwa serta pendidikan perlu terus berjalan dan sentiasa ditambah baik," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!