'Kami akan jadi giant killer' - BN Tambun
IPOH - BN Parlimen Tambun akan memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai bukan pilihan menentang calon-calon gergasi yang akan bertanding di kawasan Parlimen berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, biarpun nama-nama besar sudah mengumumkan bertanding di kawasan Parlimen itu, BN Tambun tidak gentar untuk berhadapan dengan mereka.
Malah jelas beliau, calon-calon yang akan ditampilkan BN nanti mampu jadi pembunuh gergasi sekali gus merampas kembali kerusi Parlimen Tambun dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya iaitu DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi.
Untuk PRU15, BN Tambun memang kita underdog. Kita akui hakikat itu, tapi tak bermakna kita gentar menghadapi cabaran kerana kita pun dalam berjuang di dalam kawasan Parlimen Tambun ini sendiri.
"Kalau kita lawan dengan giant, kita menang, kita 'giant killer'. Semua kena yakin. Tak ada siapa yang masuk pilihan raya tak yakin. Kami pun yakin (menang)," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti IPF Bersama BN Tambun di No 144, Hala Klebang Restu 1, Medan Klebang Restu, Chemor, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Aminuddin turut memberikan komitmen untuk menggalas tanggungjawab jika dipilih sebagai calon bagi kerusi Parlimen berkenaan.
Dia yang juga Ketua UMNO Bahagian Tambun berkata, kerja keras menyantuni rakyat sudah dilakukan bersama-sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman.
Menurutnya, selain UMNO, rakan-rakan komponen seperti MCA, MIC serta dari Friends of BN melibatkan Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti Makkal Sakthi dan sebagainya turut bersama menggerakkan jentera masing-masing sebagai satu pasukan
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan bahawa UMNO Perak mencadangkan nama Aminuddin sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun.
Kerusi Parlimen Tambun menjadi antara kawasan panas pada PRU15 apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding kawasan berkenaan selain penyandangnya, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut akan mempertahankan kerusi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!