Agrobank lulus RM41 juta biaya program agromakanan
KUANTAN - Agrobank telah meluluskan pembiayaan RM41 juta bagi Program Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) dan Dana Pembiayaan Agromakanan 2 (DPA2) peringkat negeri Pahang.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sehingga 15 Oktober lalu, Agrobank menerusi pejabat Wilayah Pahang telah menerima 304 permohonan DPAKM dengan nilai RM75 juta.
Menurutnya, daripada jumlah ini, 187 permohonan telah diluluskan di bawah program DPAKM dan DPA2 dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM41 juta.
“Pelaksanaan program DPAKM dan DPA2 dengan peruntukan RM1 bilion di bawah Agrobank dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara sekali gus memperkasakan sektor pengeluaran makanan.
"Menerusi program ini, Agrobank berharap agar ia dapat dimanfaatkan lebih ramai usahawan di seluruh negara,” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Majlis penyampaian replika cek kepada wakil penerima DPAKM dan DPA2 peringkat Negeri Pahang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Tanah Rata, Cameron Highlands pada Ahad lalu.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program DPAKM menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga lapan tahun enam bulan dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus.
"Bagi tempoh enam bulan pertama, Agrobank turut memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan sifar peratus.
"Itu bermakna para pelanggan hanya akan dikenakan kadar keuntungan serendah tiga peratus bermula pada bulan ketujuh pembiayaan dan seterusnya,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, Agrobank turut menawarkan Program Pemulih NewBiz yang merupakan inisiatif berterusan dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian.
“Inisiatif itu bagi memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti golongan asnaf.
"Ia juga bagi menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga,” katanya.
Justeru beliau berkata, Agrobank amat mengalu-alukan rakyat negara ini yang terkesan dengan cabaran ekonomi semasa untuk terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz secara lebih terperinci.
Menurutnya, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program DPAKM, DPA2 dan Pemulih NewBiz melalui laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 1300 88 2476 atau terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!