JBPM tempatkan anggota di pusat mengundi berisiko banjir
ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan anggotanya di beberapa lokasi pusat mengundi yang berisiko berlaku bencana banjir sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mempunyai jangkaan banjir.
"Jadi kita akan letak anggota di lokasi pangkalan hadapan di dalam keadaan paling tinggi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Forum Bicara Governans Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) Siri 2 2022 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhari di sini pada Selasa.
Bagaimanapun menurutnya, jumlah anggota berkenaan tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan 12,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara yang telah bersedia menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut.
JBPM telah berada dalam keadaan siap siaga sejak banjir besar melanda Shah Alam pada penghujung tahun 2021 dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca terutamanya kejadian banjir yang mungkin akan berlaku di luar kawasan hotspot yang dikesan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, mengikut statistik hanya dua kes rasuah dilaporkan pada tahun 2021 melibatkan pegawai dan anggota JBPM seluruh negara.
"Manakala sehingga Oktober 2022, tiada sebarang kes rasuah dilaporkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!