Warga emas dikhuatiri lemas selepas jatuh sungai

Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian setelah seorang warga emas jatuh ke dalam Sungai Kerian, pagi tadi. (Gambar kecil: Chew Sin)
Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian setelah seorang warga emas jatuh ke dalam Sungai Kerian, pagi tadi. (Gambar kecil: Chew Sin)
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas jatuh ke dalam Sungai Kerian, berhampiran Dataran Pinggiran Sungai Kerian di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Chew Sin, 65, dari Flat Tok Jabit, di sini dipercayai jatuh ke dalam sungai itu selepas memanjat Jambatan Sultan Abdul Halim.

Dia yang sebelum itu sedang mengemas rumah sehingga jam 9 pagi kemudian dipercayai keluar rumah tanpa membawa kenderaan dan ahli keluarga gagal menghubunginya selepas itu.

Isteri mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ibik, 61, berkata, mereka menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan memaklumkan kemungkinan suaminya jatuh ke dalam Sungai Kerian antara jam 9.15 hingga 9.30 pagi.

"Sejak kebelakangan ini, suami saya selalu mengadu mengalami tekanan perasaan dan pernah meluahkan keinginan hendak membunuh diri susulan berdepan masalah kewangan.

"Hari ini, kami sekeluarga dikejutkan berita kemungkinan suami terjun ke dalam Sungai Kerian dan berharap dia ditemui semula dalam keadaan selamat," katanya kepada media di sini, hari ini.

Sedutan rakaman video melalui telefon pintar menunjukkan keadaan mangsa terkapai-kapai meminta tolong di dalam Sungai Kerian, pagi tadi.
Sedutan rakaman video melalui telefon pintar menunjukkan keadaan mangsa terkapai-kapai meminta tolong di dalam Sungai Kerian, pagi tadi.

Menurutnya, suaminya sebelum ini bekerja sebagai tukang bina rumah, namun kini hanya bekerja secara sambilan kerana mempunyai masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Parit Buntar. Kali terakhir suami saya dilihat keluar dari rumah dengan memakai baju kemeja putih dan berseluar hitam," katanya.

Sementara itu, ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Rossyed Isa berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai kes tersebut pada jam 9.30 pagi sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.

"Seramai 20 anggota bomba digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang turut dibantu BBP Serdang, Kedah.

"Sejumlah tiga bot penyelamat digunakan bagi mengesan mangsa yang hilang dan operasi masih diteruskan sehingga sekarang," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati suasana persekitaran dipenuhi orang ramai yang masih tertanya-tanya status kehilangan mangsa.

Sinar Harian turut difahamkan terdapat rakaman video sempat diambil orang awam menggunakan telefon pintar menunjukkan keadaan mangsa sedang terkapai-kapai meminta pertolongan di dalam Sungai Kerian. Namun, kelibat mangsa merupakan seorang lelaki itu dipercayai hilang ditenggelami air sungai beberapa minit kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!