Lelaki warga asing diberkas disyaki terlibat kes pukul

Laporan Sinar Harian pada 17 Oktober lalu. Gambar kecil: Beh Eng Lai
Laporan Sinar Harian pada 17 Oktober lalu. Gambar kecil: Beh Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Pusat Bandar Utara Selayang dekat sini jam 2.22 petang pada Ahad.

"Kita merampas serangkai anak kunci kereta berserta alat kawalan jauh dan seluar jeans hitam yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku menumbuk dan menendang mangsa secara bertubi-tubi bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas kerana mangsa melanggar kanak-kanak yang juga anak jiran teman wanitanya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, suspek juga mengaku merampas kunci kereta mangsa sebelum membuangnya di kaki lima pasar borong berkenaan.

"Suspek direman lima hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/395 Kanun Keseksaan.

"Kami masih lagi mengesan seorang rakan suspek yang masih bebas," katanya.

Pada 17 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pukul dalam satu klip video tular dipercayai berlaku di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mangsa mengalami kecederaan di mata dan patah tulang hidung dipercayai akibat dipukul kedua-dua lelaki terbabit selepas pemandu kereta itu didakwa terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang berjalan bersama ibunya di pasar borong berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!