‘Maaf Ismail Sabri, debat adalah budaya kita’

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan perdebatan antara pemimpin sudah menjadi budaya yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa berdebat bukan budaya yang diamalkan oleh BN.

Ujar Nik Nazmi, alasan itu sebenarnya digunakan untuk menutup kelemahan UMNO dan BN yang tidak mempunyai idea serta dasar yang jelas untuk membangunkan negara.

“Sekiranya debat bukan budaya kita seperti yang dikatakan oleh Ismail Sabri, mengapa sebelum ini terdapat pemimpin UMNO yang menyertai debat?

“Beliau mungkin terlupa bahawa ketika pemilihan UMNO tahun 2018 juga telah diadakan debat antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO.

“Mungkin kerana Ismail Sabri belum menjadi Presiden UMNO beliau terlupa perdebatan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Selasa, Ismail Sabri dilaporkan berkata, cadangan debat antara calon Perdana Menteri ketika pilihan raya umum bukan budaya negara ini dan tidak pernah dilakukan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Menurut Nik Nazmi, perdebatan melibatkan beberapa tokoh besar dalam UMNO juga pernah diadakan sebelum ini antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2008.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, perdebatan lain juga melibatkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin (2012) serta Anwar dan Datuk Seri Najib Tun Razak (2022),” ujarnya.

Tambah beliau, sebelum ini Anwar telah bercadang untuk diadakan debat secara terbuka bersama calon-calon Perdana Menteri daripada gabungan yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, cadangan itu adalah untuk memastikan setiap calon Perdana Menteri yang bertanding mengemukakan dasar dan pelan rancangan yang akan dilaksanakan sekiranya dilantik.

“Perdebatan ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memerhati dan menilai dasar-dasar yang dikemukakan oleh setiap calon.

“Namun, Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO dan calon Perdana Menteri BN telah menolak saranan tersebut dengan menyatakan debat bukan budaya kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!