PKR tampil calon bukan berlatarbelakangkan politik
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mencalonkan individu yang mempunyai kelebihan dalam bidang tertentu dan bukan berlatarbelakangkan politik semata-mata.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata, langkah itu termasuk memilih calon yang ada kelebihan dalam bidang pentadbiran selain mempunyai wibawa untuk diterima oleh pengundi.
Menurutnya, setakat ini proses pemilihan oleh jawatankuasa calon sudah 80 peratus sudah selesai.
“Tak semestinya orang politik, mungkin ada figura-figura yang dirasakan sesuai seperti bekas penjawat awam, yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran dikenali ramai maka itu dapat mengembalikan kepercayaan kepada parti politik yang ada dalam negara ini.
“Kita perlu mengambil kira kehendak dan sentimen rakyat kerana pola pengundian sebelum ini menunjukkan ada desakan di peringkat rakyat bahawa apa yang disebut sebagai kelesuan politik akibat dan sikap orang-orang politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar harian siri ke-371 ‘Pengundi Muda Bosan atau Teruja’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis ialah Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda dan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd Hafeez Che Mat manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.
Kamil berkata, PKR akan memuktamadkan nama calon dalam tempoh beberapa hari lagi dan akan buat pengumuman pada 28 Oktober ini.
“Jadi kita perlu tunggu pada pada saat dan ketika itu jika ada kejutan,” katanya.
Tambahnya, pertimbangan juga dibuat oleh jawatankuasa calon yang akan memberi nilai tambah kepada parti dan menarik sokongan kepada rakyat untuk keluar mengundi.
“Mereka mahu parti politik melakukan pembaharuan menerusi penawaran calon yang lebih bewibawa dan boleh diangkat menjadi pemimpin.
“Ini merupakan langkah untuk PKR menarik semula keyakinan rakyat terhadap politik kerana diakhirnya kita bimbang sekiranya kecaknaan politik rakyat semakin luntur, itu akan sedikit sebanyak akan beri kesan dalam sistem demokrasi negara ini,” kata beliau.
Ujarnya, tidak nafikan ada dikalangan rakyat sebahagian mempunyai kebolehan untuk turut serta dalam proses demokrasi dan diangkat sebagai pemimpin berdasarkan pengalaman dan sumbangan mereka terhadap masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!