Oh telur, di mana kau telur?

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

TELUR ayam digemari semua orang, kalau ada yang tak suka, berapa kerat saja kan? Sebab telur ayam ini macam-macam boleh dibuat.

Ia boleh dijadikan telur dadar, telur rebus, telur sambal kicap dan pelbagai lagi.

Malah, ia adalah bahan asas untuk membuat kek. Rakan isteri Merak Jalanan adalah seorang pengusaha kek lapis Sarawak sejak lebih sedekad lalu.

Namun, sejak beberapa minggu lalu, momentum perniagaannya jadi perlahan kerana sukar dapat bekalan telur ayam.

Katanya, untuk membuat kek lapis Sarawak, isterinya memerlukan telur dalam kuantiti yang banyak. Masalah ini menyebabkan ada ketikanya isterinya langsung tidak berniaga kerana tiada telur untuk membuat kek.

Masalah bekalan telur ayam yang tidak cukup di pasaran sudah tentu dirasai oleh orang ramai terutamanya peniaga yang menjadikan telur sebagai bahan asas dalam pembuatan produk makanan mereka.

Isu kekurangan bekalan telur ayam bukan perkara baharu, namun ada yang mendakwa keadaan tambah teruk sejak kerajaan melaksanakan harga kawalan terhadap bahan mentah berkenaan.

Malah, tinjauan di beberapa pasar raya berdekatan tempat tinggal Merak Jalanan sendiri mendapati ruang yang menempatkan telur ayam mulai kosong selepas jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini sudah tentu memberi kelegaan kerana menurut kementerian itu bekalan telur ayam di seluruh negara dijangka kembali stabil hujung bulan ini.

Khabarnya menerusi sesi konsultasi KPDNHEP dengan pihak industri, mereka telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan pengeluaran telur ayam bagi menampung keperluan pengguna.

Merak Jalanan berharap masalah ini dapat diatasi segera kerana peralihan monsun sekarang biasanya menyebabkan permintaan terhadap telur pada musim tengkujuh turut meningkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!