Ancelotti tak kecewa Real tewas buat kali pertama
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui tidak kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya ketika tewas mengejut 2-3 kepada RB Leipzig dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu.
Menurut Ancelotti, meskipun mengakui ia memberi kesan moral kepada pasukan, namun beliau percaya keputusan itu tidak akan menjejaskan peluang Real untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat pertama.
“Kami dibolosi daripada dua situasi bola mati. Bagaimanapun permainan berjalan dengan cukup baik seperti yang kami mahukan selain mereka amat bagus sewaktu serangan balas.
“Sejujurnya saya tidak sakit hati dengan kekalahan ini. Ia satu kekalahan yang mengganggu kami, tetapi ia juga tidak banyak menjejaskan rentak kami.
“Kami masih ada satu peluang (untuk memastikan kedudukan teratas). Saya tidak boleh mengkritik pasukan yang telah melakukannya dengan amat baik setakat ini,” katanya.
Pada aksi tersebut, tonggak pertahanan Leipzig Josko Gvardiol, berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-13 selepas berjaya menanduk masuk bola dari jarak dekat untuk menewaskan Thibaut Courtois.
Selang lima minit kemudian, Christopher Nkunku menggandakan jaringan buat tuan rumah sebelum pemain sayap Real, Vinicius Junior kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Timo Werner mencetak gol kemenangan dari jarak dekat pada minit ke-81 dengan Rodrygo kembali merapatkan jaringan hasil sepakan penalti buat Madrid pada penghujung permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!