Gempa kuat landa utara Filipina
MANILA - Gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter menggegarkan utara Filipina pada malam Selasa, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Gempa bumi berlaku pada 10:59 waktu tempatan dengan kedalaman 28 kilometer (km), kira-kira 7km dari barat laut bandar Tineg wilayah Abra, Luzon, lapor Xinhua.
Gegaran turut dirasai di kawasan berhampiran, termasuk wilayah Ilocos Sur dan bandar Baguio.
Gempa berkenaan dijangka mencetuskan gegaran susulan, bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan, menurut institut itu.
Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan setakat ini.
Filipina kerap dilanda aktiviti seismik kerana lokasinya di sepanjang "Lingkaran Api" Pasifik.
Pada Julai, gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter melanda wilayah Abra, menyebabkan kejadian tanah runtuh dan merosakkan bangunan, serta mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang maut manakala 130 lagi cedera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!