Bakal MB Johor: Khuzzan enggan ulas
PASIR GUDANG- Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar dari PKR enggan mengulas lanjut tentang spekulasi yang timbul mengaitkannya dengan jawatan Menteri Besar Johor.
Semalam, akhbar News Straits Times (NST) melaporkan beberapa nama tersenarai sebagai pengganti Datuk Osman Sapian sebagai menteri besar termasuk nama Mohd Khuzzan.
Menurut ADUN Semerah itu, segala keputusan termasuk menyenaraikan nama bakal Menteri Besar Johor terletak pada tangan pucuk pimpinan.
"Saya tak nak komen apa-apa, biarlah pucuk pimpinan yang tentukan. Jadi semua soalan saya kena jawab 'no comment' dulu," katanya kepada Sinar Harian.
Selain Mohd Khuzzan, nama dua exco dari Bersatu iaitu Dr Sahruddin Jamal dan Mazlan Bujang turut disebut-sebut sebagai pengganti.
Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata ketika ketiadaan Osman dalam pentadbiran negeri, semua exco masih menjalankan tugas masing-masing.
"Walaupun menteri besar dah hantar surat peletakan jawatan tapi beliau belum mengadap Sultan Johor.
"Kami jalankan kerja secara profesional, seperti biasa cuma kita perlu pastikan kita boleh jalankan urusan pentadbiran negeri ini," katanya.
NST turut mendakwa Osman didesak melepaskan jawatan itu selepas terpalit kontroversi-kontroversi hingga menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk istana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!