Menteri dipecat kerana benarkan mayat dibawa ke jel
ASUNCION - Presiden Paraguay, Mario Abdo Benitez pada Selasa memecat Menteri Kehakiman dan Pengarah penjara wanita kerana membenarkan keranda yang mengandungi mayat ketua gerila memasuki sebuah jel di negara itu.
Keranda ketua gerila, mendiang Osvaldo Villalba dibawa masuk ke jel tersebut kerana ia menempatkan seorang kakaknya, Carmen, 50, yang sedang menjalani hukuman kerana kesalahan menculik.
"Menteri Kehakiman (Edgar Taboada) dan seorang pengarah penjara Good Shepherd telah dipecat," kata Pejabat Presiden itu dalam satu kenyataan.
Villalba ialah pemimpin Tentera Rakyat Paraguay (EPP) yang berfahaman Marxis-Leninis dibunuh pada Ahad lepas oleh tentera di timur laut negara itu bersama dua rakannya, kata polis.
Kerandanya dibawa ke penjara wanita itu oleh saudara-maranya supaya kakak Villalba boleh mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Kakaknya itu merupakan pengasas bersama EPP.
Bagaimanapun, menteri itu menjelaskan bahawa mayat Villalba yang berusia 39 tahun telahpun dihantar ke tanah perkuburan bersebelahan penjara tersebut, tetapi kemudian saudara-maranya datang dan membawanya memasuki jel itu.
Diiringi oleh berpuluh-puluh anggota polis antirusuhan, ia dibenarkan masuk ke dalam penjara di mana kakaknya diberi masa lima minit untuk mengucapkan selamat tinggal terakhirnya.
Kakaknya menjalani hukuman selama 18 tahun kerana menculik anak perempuan bekas Presiden, Raul Cubas pada tahun 2004. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!