Pengguna mengeluh laluan Persiaran Mokhtar Dahari sesak
SHAH ALAM - Kira-kira 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari di sini mengeluh berikutan terpaksa berdepan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak sejak dua minggu lalu.
Rata-rata pengguna jalan raya mendakwa, kesesakan kira-kira tiga kilometer (km) itu menyebabkan mereka mengalami kelewatan melebihi sejam berbanding hanya lima ke 10 minit sahaja.
Pengguna, Mohd Marzuki Abdullah, 48, berkata, masalah kesesakan itu berpunca akibat kekurangan lorong kenderaan yang tidak mampu menampung aliran tinggi trafik di laluan tersebut.
Mohd Marzuki yang menetap di Alam Budiman berkata, laluan itu digunakannya setiap hari terutama untuk menghantar anak ke sekolah.
"Jika dahulu saya hanya menghantar anak ke sekolah hanya lima ke enam minit, tetapi sekarang mengambil masa sehingga sejam akibat kesesakan trafik," katanya ketika ditemui pada Rabu.
Jelas Mohd Marzuki, biasanya kesesakan itu berlaku bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9 malam.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 53, berkata, peningkatan jumlah kenderaan antaranya selepas pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada 14 Oktober lalu.
Menurut Badrulhisham, keadaan itu menyebabkan penduduk di Alam Budiman, Kampung Meru dan Puncak Alam merungut setiap kali melalui laluan berkenaan.
Justeru katanya, penduduk memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.
"Kesesakan ini boleh diatasi jika pihak berwajib melebarkan lagi jalan dengan menambah lorong di kawasan berkenaan.
"Masalah berlaku kerana laluan melepasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana hanya satu lorong sedangkan jumlah kenderaan terlalu banyak," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Greenhill Residence, Mohamad Zailani Johari, 53, berkata, kerajaan Persekutuan dan negeri diharap dapat berbincang bagi menyelesaikan masalah itu segera.
Menurutnya, usaha kedua-dua pihak itu diharap dapat menyelesaikan kemelut dihadapi pengguna jalan raya.
"Pembangunan di sini semakin pesat dan jika tidak ditangani segera kita bimbang empat atau lima tahun lagi masalah ini semakin teruk," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, kerajaan Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengambil tindakan segera mengatasi isu berkenaan yang turut menjejaskan penduduk Puncak Alam.
"Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan kerana ia melibatkan infrastruktur rakyat yang kini terbeban dengan masalah kesesakan teruk tersebut.
"Jumlah penduduk juga kian meningkat dengan pembinaan projek perumahan baharu dan pelebaran jalan itu perlu segera dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!