54 projek skala besar di Pulau Pinang tidak patuh EIA

Sharifah Zakiah (tengah) bergambar dengan peserta Seminar ‘EIA Role In Sustainable Development’ Sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pulau Pinang di Seberang Jaya, pada Rabu.
Sharifah Zakiah (tengah) bergambar dengan peserta Seminar ‘EIA Role In Sustainable Development’ Sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pulau Pinang di Seberang Jaya, pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 54 daripada 85 premis dan projek yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di negeri ini didapati tidak mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kebanyakan yang dikesan tidak mematuhi laporan EIA ini melibatkan premis dan projek berskala besar termasuk kuari yang sedang berjalan.

Menurutnya, antara pelanggaran EIA yang dikesan dilakukan pemaju adalah gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual.

Daripada 85 premis atau projek yang aktif dengan kerja-kerja di lapangan sedang berlangsung kita didapati hanya 36 peratus iaitu 31 pemeriksaan (projek) mematuhi EIA.

"Sebanyak 64 peratus atau 54 pemeriksaan (projek) tidak mematuhi EIA dan jumlahnya agak tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar ‘EIA Role In Sustainable Development’ Sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya telah mengeluarkan 23 kompaun, 16 notis arahan dan tujuh tindakan mahkamah turut diambil.

Beliau berkata, walaupun syarat kelulusan EIA ini terlalu banyak, namun menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan aspek pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual dipatuhi kerana ia akan memberi impak kepada masyarakat sekeliling serta alam sekitar sekiranya dipandang ringan oleh industri.

Katanya, sekiranya pelepasan air dibuat tanpa mengikut syarat dan tidak membuat kawalan hakisan dan kelodakan di tapak ia boleh menyebabkan bencana alam seperti banjir berlaku.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, secara keseluruhannya, JAS negeri telah menjalankan sebanyak 1,265 pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis termasuk projek yang mendapat kelulusan EIA dari awal tahun ini hingga Isnin lalu.

Jelasnya, daripada penguatkuasaan keseluruhan yang dijalankan sebanyak 743 pemeriksaan (58 peratus) adalah patuh, manakala 522 pemeriksaan (42 peratus) adalah tidak patuh.

Tambah beliau, sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis dan 48 tindakan mahkamah diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!