Johor sedia bantu mangsa sindiket tipu kerja: Exco

Tangkap layar video yang tular dalam aplikasi TikTok bertajuk 'Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan' memaparkan tujuh individu mendakwa ditipu yang kini berada di Kemboja.
Tangkap layar video yang tular dalam aplikasi TikTok bertajuk 'Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan' memaparkan tujuh individu mendakwa ditipu yang kini berada di Kemboja.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk membawa pulang tujuh rakyat negeri ini yang mendakwa ditipu sindiket pekerjaan dan kini terkandas di Kemboja.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri akan merujuk perkara itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Meskipun urusan membawa pulang mangsa adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri serta Wisma Putra dan kerajaan negeri Johor tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal urusan membawa pulang mereka, namun kita tetap peka dalam mendepani pelbagai isu semasa serta kebajikan khususnya Bangsa Johor.

"Kerajaan negeri yakin, Kementerian Luar Negeri akan memastikan kebajikan mangsa diberi keutamaan. Bagaimanapun, urusan membawa mereka pulang masih tertakluk kepada peraturan negara yang terbabit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ketika ini tular satu video dalam aplikasi TikTok yang bertajuk 'Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan' membabitkan tujuh individu mendakwa anak kelahiran Johor ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja.

Dalam video berdurasi 58 saat itu, individu yang mewakili kumpulan berkenaan mendakwa terkandas, dipaksa serta diugut untuk bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kerajaan Johor untuk membantu mereka pulang ke Tanah Air.

Dalam video itu turut menyatakan mereka keluar dari lokasi terbabit tanpa membawa sebarang dokumen dan wang.

Mohd Hairi berkata, diharap semua tujuh individu terbabit dapat bertahan sehingga semua urusan membawa mereka pulang ke tanah air dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Buat semua Bangsa Johor, marilah kita sama-sama doakan supaya urusan membantu kumpulan individu terkandas ini dipermudahkan dan mereka dapat pulang ke tanah air dalam keadaan selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!