Rumah dibakar disyaki perbuatan along Singapura

Keadaan kenderaan yang terbakar selepas kejadian terbabit.
Keadaan kenderaan yang terbakar selepas kejadian terbabit.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah keluarga di Taman Seremban Tiga di sini berada dalam ketakutan selepas kediaman mereka didakwa dicurah petrol sebelum dibakar dipercayai perbuatan along dari Singapura.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi Rabu itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Mercedes bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 44, berkata, enam ahli keluarganya termasuk dua warga emas berjaya menyelamatkan diri sebaik dikejutkan oleh jiran yang menyedari kediaman mereka terbakar.

"Saya percaya kejadian ini ada kaitan dengan adik lelaki bongsu saya yang berusia 30 tahun bekerja di Singapura sebagai penjual telefon bimbit, dia yang meminjam wang daripada along dari negara tersebut sejak dua minggu lalu.

"Sebelum kejadian along tersebut telah meninggalkan nota amaran supaya membayar wang yang dipinjam berserta nombor telefon Singapura," katanya pada Rabu.

Jelasnya, sebelum ini ibunya telah membantu melunaskan pinjaman adiknya itu dengan membayar SGD$10,000 (RM30,400) kepada along terbabit.

"Kami sekeluarga kini dalam ketakutan dan bimbang akan terus diganggu dan disebabkan adik saya tidak dapat dihubungi jadi sukar untuk mendapatkan penjelasan," katanya.

Jelas Wong, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua lelaki menaiki sebuah kereta dengan salah seorang daripada mereka mencurahkan petrol menggunakan baldi ke hadapan rumah sebelum menyalakan api.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lagi merakam kejadian itu dengan telefon bimbit. Percubaan pertama mereka (membakar) gagal sebelum beredar dan kemudian lelaki sama datang semula menyalakan api ke arah rumah," jelasnya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, kebakaran melibatkan garaj hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

"Terdapat sebuah kereta Mercedes terbakar 100 peratus dan sebuah Toyota Vios terbakar dua peratus.Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!