'Ini strategi berani DAP' - Anthony

Anthony ketika mengadakan sidang akhbar yang bersiaran secara langsung dari ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.
Anthony ketika mengadakan sidang akhbar yang bersiaran secara langsung dari ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUANTAN - Penampilan pemimpin muda yang mempunyai pengalaman di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi pertaruhan DAP sebagai calon kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pertaruhan kepimpinan muda itu dibuat bagi memastikan kemenangan dan kejayaan besar dapat dicapai oleh DAP dalam pilihan raya ini.

Menurutnya, langkah itu juga bagi memastikan hala tuju DAP ke arah kepelbagaian sekali gus dapat memastikan hala tuju politik dapat dipertingkatkan.

"Ini strategi berani yang dipertimbangkan DAP pada PRU15. Kita tampilkan muka baharu di peringkat Parlimen, tetapi mereka ini ada pengalaman dan sudah berkhidmat di sebuah kawasan serta dikenali pengundi.

"Jadi, DAP menaruh kepercayaan penuh bahawa calon yang dipertaruhkan di empat kerusi Parlimen di Pahang ini dapat memperoleh kemenangan besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pengumuman memperkenalkan calon DAP bagi kerusi di Parlimen Pahang yang bersiaran secara langsung dari ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum itu, Anthony mengumumkan empat calon DAP di Parlimen Pahang termasuklah penyandang kerusi DUN Ketari, Young Syefura Othman dipertaruhkan di Parlimen Bentong.

Katanya, tiga calon lain yang diumumkan ialah penyandang Tras, Chow Yu Hui dipertaruhkan di Parlimen Raub, Chiong Yoke Keong (penyandang Tanah Rata) pula di Parlimen Cameron Highlands, manakala Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Lipis).

Artikel Berkaitan:

Anthony berkata, Tengku Zulpuri akan turut bertanding di satu kerusi DUN yang akan diumumkan minggu hadapan.

“Kita tahu di Lipis, majoriti pengundi adalah Melayu yang selama ini kerusi kuat UMNO. Kali ini kita diberikan tanggungjawab dan kerusi ini satu langkah penting untuk DAP menerokai kawasan UMNO, justeru kita akan letakkan calon yang kuat.

“Malah, Zulpuri juga diberi pengecualian bertanding di DUN dan beliau adalah satu-satunya calon yang bertanding dua kerusi untuk DAP, Parlimen Lipis dan DUN yang akan diumumkan pada minggu hadapan," katanya.

Menjawab pertanyaan Young Syefura sebagai calon Parlimen Bentong, Anthony memaklumkan DAP mempunyai keyakinan penuh dan mahu menjadikan calon wanita Melayu ini sebagai ahli Parlimen wanita Melayu pertama DAP.

"Kita percaya dengan kepimpinan beliau (Young Syefura) dan pernah berkhidmat sebagai ADUN di Ketari, selain mempunyai sokongan penuh daripada pengundi.

"Disebabkan itu, kita yakin Young Syefura boleh membantu parti untuk mempertahankan kerusi di Parlimen Bentong," katanya.

Pahang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!