Jual PerantiSiswa: Bentuk hukuman belum dibincang
KUALA LUMPUR - Kerajaan belum membincangkan sebarang bentuk tindakan termasuk sama ada menyenaraihitamkan pelajar yang didapati menjual PerantiSiswa Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Setakat ini, kita tidak membincangkan lagi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM). Perkara itu mereka akan tengok kembali,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Media City yang dikenali sebagai Angkasapuri Kota Media di sini.
Namun begitu, Perdana Menteri menyeru pelajar yang menerima bantuan kemudahan itu agar tidak menjualnya demi mencapai hasrat kerajaan membantu pelajar golongan B40.
"Jadi janganlah mencari keuntungan jangka pendek dengan menjual (PerantiSiswa) kerana jangka panjang lebih penting bagi mereka untuk menggunakan PerantiSiswa demi meningkatkan mutu pembelajaran demi masa depan mereka,” kata beliau.
PerantiSiswa diberikan kepada pelajar institut pengajian tinggi dari keluarga B40 dalam usaha memudahkan proses pembelajaran pada era digital kini. Tablet Galaxy Tab A8 diberikan bersama papan kekunci dan juga stylus kepada mereka yang menerimanya.
Ketika pengenalan inisiatif PerantiSiswa sebelum ini, kerajaan menyatakan para pelajar perlu memulangkan kembali tablet yang diterima pada penghujung pembelajaran mereka.
Namun, kerajaan mengubah keputusan tersebut dan memilih memberi terus tablet PerantiSiswa kepada para pelajar.
Pada Selasa Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 14 kes penjualan semula PerantiSiswa telah dikesan di seluruh negara, serta penelitian berhubung isu itu juga sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sementara itu Annuar dalam ucapan alu-aluannya berkata, pelaksanaan projek pembangunan Angkasapuri Kota Media adalah menerusi kaedah kerjasama awam dan pihak swasta melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Annuar turut merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri K-KOMM sebelum ini yang terlibat dalam menjayakan pembinaan Media City ini.
"Projek telah bermula secara rasminya pada Disember 2016 dan diteruskan semasa musim PKP. Kejayaan ini akan memulakan era baharu dalam penyiaran negara,” katanya.
Dengan kos keseluruhan berjumlah RM860 juta, bangunan Media City yang baharu beroperasi ini mempunyai 18 tingkat merangkumi ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga buah studio TV (M1, M2 dan M3), ruang parking bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!