Deklarasi PRU15 diserah kepada 13 pimpinan parti politik

Mohd Jamaludin memegang kandungan deklarasi menjelang PRU15 yang akan diserahkan kepada semua pimpinan parti politik pada Khamis.
Mohd Jamaludin memegang kandungan deklarasi menjelang PRU15 yang akan diserahkan kepada semua pimpinan parti politik pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai agama akan menghantar deklarasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada 13 pimpinan dan ketua parti politik pada Khamis (esok).

Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia (ACCIN), Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, deklarasi membabitkan lapan perkara itu dikemukakan kepada semua parti sebagai prihatin dengan keadaan politik negara yang dilihat dalam keadaan kritikal.

Antara yang menerima deklarasi itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, deklarasi berkenaan disokong hampir 30 pemimpin dan NGO agama mewakili lima juta pengundi yang mahukan pembaharuan terhadap pengendalian sistem demokrasi berparlimen berdasarkan raja berpelembagaan demi kepentingan rakyat dan negara.

"Deklarasi ini bukan ugutan tapi sebagai syor kepada semua parti yang akan bertanding dalam PRU15. Apa yang disyorkan adalah perkara asas sistem demokrasi dan bukan sesuatu yang luar biasa.

"Kami tekankan tidak berminat dengan politik dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik tetapi deklarasi ini adalah mewakili suara pengundi yang mahukan perubahan," katanya pada sidang akhbar Deklarasi Pemimpin Penganut Pelbagai Agama Menjelang PRU15 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Antara wakil pemimpin agama dan NGO yang hadir adalah Pengerusi The Christian Federation of Malaysia (CFM), Cor Episcopa Philip Thomas (CFM); Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Shahrul Aman Mohd Saari dan Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.

Lapan perkara ditekankan dalam deklarasi itu adalah pemimpin politik negara daripada semua parti perlu menghormati keluhuran Perlembagaan; konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dikekalkan dan diamalkan setulusnya ; menuntut pemisahan kuasa antara pendakwa raya negara dan peguam negara yang bebas daripada pengarah eksekutif.

Artikel Berkaitan:

Deklarasi turut menuntut semua institusi dan agensi semak imbang serta penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti; menjunjung demokrasi matang supaya pengundi diberi maklumat dan fakta secukupnya kepada semua pihak yang bertanding dalam PRU15.

Turut ditekankan, gesaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus, bersih adil; mencadangkan debat terbuka diadakan segera bagi memberi peluang semua parti mengemukakan manifesto dan kelebihan masing-masing dan semua parti berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding dengan memastikan hanya calon berintegriti dan kompeten diketengahkan.

Mohd Jamaludin berkata, jika semua parti politik mengikut deklarasi itu, 90 peratus salah guna kuasa dan rasuah akan berjaya diselesaikan.

"Kami terpanggil untuk bersuara kerana melihat keadaan terlalu kritikal dalam negara dan atas rasa tanggungjawab akan kemaslahatan negara.

"Tidak boleh kata golongan agama ini hanya fokus di gereja dan masjid kerana kami juga adalan warganegara dan pengundi. Latar belakang yang menyokong deklarasi ini juga terdiri mereka yang berkepakaran seperti peguam dan konsultan dan akademik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!