Pearly kembali temui rentak

Pearly (kanan) bersama gandingannya Thinaah. - Foto BAM
Pearly (kanan) bersama gandingannya Thinaah. - Foto BAM
A
A
A

SELEPAS bergelut dengan kecederaan lutut pemain beregu wanita negara, Pearly Tan dan gandingannya M Thinaah mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan juara Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti di pusingan pertama Terbuka Perancis pada Selasa.

Pearly nyata gembira dengan kejayaan tersebut sambil mengakui sudah mula mendapatkan rentak permainan selepas hampir sebulan berehat.

Tambah pemain kelahiran Kedah itu, dia berharap dapat mengekalkan momentum yang dimilikinya ketika ini untuk perlawanan seterusnya.

“Saya rasa sangat gembira dan juga bersyukur sebab sudah dapat balik rentak selepas mengalami kecederaan. Malah saya juga dapat ‘game’ yang saya mahukan.

“Jadi saya harap dapat kekalkan momentum yang dimiliki ketika ini untuk perlawanan akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebelum ini Pearly-Thinaah mencipta sensasi apabila mengejutkan juara Terbuka Malaysia 2022, Apriyani -Siti Fadia pada pusingan pertama Terbuka Perancis pada Selasa.

Pearly-Thinaah yang tampil dengan status bukan pilihan mengatasi pasangan pilihan ketujuh dari Indonesia itu, 22-20, 19-21, 21-7 dalam pertarungan tiga set selama 74 minit di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Pasangan nombor 11 dunia itu akan menentang satu lagi gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, yang menewaskan Stine Kuespert-Emma Moszczynski dari Jerman, 18-21, 21-9, 21-13.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!