Husam sah tidak bertanding di Kelantan
Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Hussin berkata, tindakan tersebut adalah salah satu strategi parti yang telah ditentukan pimpinan di peringkat pusat.
"Desas desus bahawa Husam akan bertanding di luar Kelantan adalah benar. Ini merupakan strategi parti dan bukannya kerana kita tiada kekuatan untuk bertanding seperti yang didakwa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bendera PH Peringkat Negeri Kelantan pada Rabu.
PH pada Rabu mengumumkan tujuh calonnya akan bertanding bagi kerusi Parlimen parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Aziz yang akan bertanding di Parlimen Perak.
Husam yang juga Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan calon tunggal PH bagi kerusi Parlimen negeri ini yang tidak hilang wang pertaruhan pada PRU14 lalu selain memberi saingan sengit kepada calon Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu Muhammad Hussin berkata, PH Kelantan telah menetapkan 30 peratus calon wanita parti itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kelantan dalam PRU15.
Katanya, tiga calon wanita itu ialah Ketua Wanita PH negeri, Nur Azmiza Mamat akan bertanding bagi kerusi Parlimen Bachok; Timbalan Ketua Wanita PH, Doktor Hafizdah Mustakim di Parlimen Kota Bharu manakala Timbalan Ketua Angkatan Amanah Negara (AWAN) Nik Faizah Othman di Parlimen Pengkalan Chepa.
Muhammad Hussin turut melahirkan keyakinan PH Kelantan akan memberi saingan sengit dalam PRU15.
"Kita yakin rakyat sedang menantikan parti baharu untuk mentadbir negeri ini kerana mereka telah mengundi Pas dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Mereka telah melihat dan merasai sejauh mana parti-parti tersebut memberi manfaat kepada mereka dan negeri ini. Kali ini mereka mempunyai pilihan ketiga untuk diundi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!