Isu tiket mahal dibawa kepada Kementerian Pengangkutan

Rosol (tengah) berbual dengan penerima kotak sumbangan barang keperluan pada Majlis Ramah Mesra Program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa.
Rosol (tengah) berbual dengan penerima kotak sumbangan barang keperluan pada Majlis Ramah Mesra Program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa.
A
A
A

KUALA NERUS – Kerajaan memandang serius isu harga tiket penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang didakwa semakin meningkat menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian bagi mengelak isu tambang menjadi penghalang rakyat pulang mengundi.

Menurutnya, walaupun kawalan harga tiket penerbangan bukan di bawah KPDNHEP, namun beliau akan mengambil tanggungjawab untuk menyalurkan isu berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan.

"Kita harap pihak berwajib mengambil tindakan supaya isu ini tidak menghalang rakyat menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

"Kita akui segala masalah pengguna akan melalui kita (KPDNHEP) dan aduan yang dikemukakan akan disalurkan kepada kementerian terlibat,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra Program Food Bank Malaysia Bersama Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa Kementerian Pengangkutan menyelesaikan isu peningkatan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang sangat mahal ketika ini.

Menurutnya, tanpa campur tangan kementerian, situasi itu juga bakal merugikan negara kerana antara kelompok terbesar pengundi di Malaysia iaitu golongan mahasiswa dijangka paling ramai terjejas akibat kenaikan tambang itu.

Untuk rekod, seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun akan menjalankan tanggungjawab mengundi dan daripada jumlah tersebut, seramai 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!