Wanita maut motosikal bertembung kereta
PONTIAN - Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 1.2 Jalan Pontian-Kukup pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita warga tempatan itu sedang dalam perjalanan dari Kukup ke Pontian telah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Johor Bahru ke arah Pontian.
Menurutnya, cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Pontian, menerima maklumat kemalangan terbabit sekitar jam 10.40 pagi dan hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta dari Johor Bahru ke Pontian telah membelok ke simpang kanan jalan.
"Ini mengakibatkan pertembungan dengan motosikal dinaiki wanita berkenaan yang datang dari arah Kukup ke Pontian.
"Akibatnya wanita berusia 25 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian manakala pemandu kereta lelaki warga tempatan berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohammad Shofee berkata, lelaki terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan had laju yang telah ditetapkan.
"Kemalangan sebegini boleh dielakkan jika kita peka pada persekitaran dan pastikan pemanduan yang selamat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!