'Helikopter terhempas dalam perjalanan pulang'

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Yusri
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Helikopter yang terhempas di dalam sebuah hutan berhampiran Brinchang di sini dalam perjalanan pulang selepas memberikan perkhidmatan perubatan di Kampung Gawin, Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian helikopter terbabit sedang menuju ke Pengkalan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) Hospital Bahagia Ulu Kinta sebelum kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat daripada Menara Kawalan Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh pada jam 1.20 petang.

"Mangsa terdiri daripada seorang juruterbang lelaki dan lima orang pegawai perubatan membabitkan dua lelaki dan tiga wanita dari pasukan PDU Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah ditemui dalam keadaan selamat namun mengalami kecederaan.

"Bangkai pesawat ditemui berhampiran sempadan negeri Perak-Pahang berhampiran Brinchang, Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini untuk menerima rawatan.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat diketuai polis diaktifkan dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dan Pahang serta pasukan menyelamat lain.

Menurut beliau, siasatan akan dijalankan pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!