Amanah yakin menang lebih 11 kerusi Parlimen
ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan 11 kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selain menambah bilangan kerusi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sasaran itu berdasarkan kepada keputusan parti mengemukakan muka baharu selepas beberapa ahli Parlimen sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur.
Menurutnya, keyakinan itu juga dipengaruhi oleh mood rakyat yang dilihat sering berubah-ubah mengikut perubahan politik semasa dan cenderung untuk membuat keputusan di saat akhir.
“Saya mempunyai keyakinan Amanah berpotensi menang melebihi 11 kerusi yang kita peroleh pada PRU14.
“Antara sebab sasaran itu boleh dicapai ialah kita kemukakan muka-muka baharu selepas beberapa ahli Parlimen melepaskan kerusi bagi memberi laluan kepada calon muka baharu. Sudah tentu ia berikan keyakinan baharu kepada rakyat untuk berikan pertambahan kerusi kepada Amanah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, perubahan itu melibatkan kebanyakan negeri namun ia belum boleh didedahkan buat masa ini.
“Berapa tambahan kerusi yang boleh kita menang, itu subjektif. Yang penting apabila kita masuk medan pilihan raya, sasaran kita adalah untuk menang seberapa banyak yang ditandingi bagi pertambahan kerusi,” katanya.
Menurutnya, selain mengukuhkan strategi untuk mempertahankan 11 kerusi milik parti itu, Amanah juga bersedia meneroka kawasan-kawasan baharu bagi memastikan parti itu beroleh kemenangan untuk melonjakkan lagi bilangan kerusi Parlimen untuk Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan
“Sudah tentu setiap kerusi yang kita bertanding, kita akan pastikan ada strategi untuk tambahkan kemenangan,” katanya.
Mahfuz berkata, pada awalnya, Amanah menyasarkan bertanding 40 kerusi Parlimen namun ia bergantung kepada keputusan perbincangan komponen PH.
“PH akan bertanding kerusi yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pengagihan kerusi antara parti komponen gabungan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.
Pada 20 Oktober, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, secara umumnya pembahagian kerusi antara rakan komponen (Amanah, Parti Keadilan Rakyat, DAP) telah selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat setelah rundingan dengan rakan kerjasama mereka selesai.
Ia kini hanya melibatkan rundingan dengan pakatan pilihan raya (electoral pact) iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.
“Rundingan bersama electoral pact ini dijangka selesai dalam masa terdekat. Sejauh mana capai atau tidak, bergantung pada rundingan dengan parti-parti tersebut. Ini bermakna akan ada kerusi-kerusi yang kalau dia nak bertanding, kita tak boleh bertanding,” ujarnya.
Mahfuz percaya semua parti PH sudah mempunyai senarai calon PRU15 dan hanya menunggu untuk disokong di peringkat kepimpinan tertinggi PH.
“Pada PRU14, Amanah bertanding 27 kerusi di seluruh negara dan menang 11 kerusi. Kali ini jumlah kerusi ditandingi akan meningkat disebabkan kerusi-kerusi yang diwakili Bersatu akan kita agihkan antara tiga parti di Semenanjung termasuk di Sabah,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, kesemua parti strategik sepakat dan tiada bantahan mahupun desakan untuk mana-mana parti mewakili kawasan tertentu.
“Tak ada berebut kerusi, semua sepakat. Apa yang peringkat nasional putuskan kita harus akur. Jangan ada lagi protes, ia akan melambatkan proses untuk kita melangkah ke hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!